Tuesday, June 28, 2005

Warga Kuala Lumpur tolak pemimpin rasuah

Oleh Wan Nordin dan Omar Saidi

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) - Rakyat yang membayar cukai kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mahu Menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan terdiri dari kalangan pemimpin yang didakwa terlibat dengan politik wang, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Kata beliau, selagi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad memegang jawatan penting dalam Wilayah Persekutuan, selagi itu kredibiliti Ahli Parlimen Jempol itu boleh dipertikai.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam satu perhimpunan aman di hadapan Bangunan DBKL sebentar tadi.

Seramai 50 penyokong PAS berkumpul sejak pukul 1.00 petang.Perhimpunan yang asalnya dirancang oleh kumpulan reformasi itu akhirnya diambilalih oleh Pemuda PAS dan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan setelah aktivis reformasi tidak kunjung tiba bagi memulakan demonstrasi.

Dimaklumkan oleh Pemberita Suara Keadilan, Faisal Mustaffa bahawa Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak menerima maklumat berhubung penganjuran perhimpunan itu.

Meneruskan ucapan itu Ustaz Idris berkata, rakyat Wilayah Persekutuan berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu menyiasat salahlaku Mohd Isa tanpa menunggu aduan dari Umno atau pihak lain. "Ini soal undang-undang tak kira status siapa dia Menteri atau sebagainya, beliau perlu disiasat dan dihukum kerana kesalahannya,"tegas beliau.

Kata Ustaz Idris lagi, keterlibatan Mohd Isa dalam isu politik wang itu merupakan kesalahan yang membabitkan kredibiliti negara dan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, sebagai Menteri dan Ahli Parlimen beliau perlu secara rendah diri mengundur diri dan bersedia untuk diambil tindakan oleh BPR dan pihak berkuasa lain.

Sementara itu wakil Solidaritri Mahasiswa Malaysia (SMM) yang enggan namanya disiarkan berkata, mahasiswa komitmen dengan sebarang usaha menegakkan keadilan dan menghapuskan rasuah.

Kata beliau, mahasiswa sanggup turun padang bersama-sama rakyat bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap senario yang berlaku hari ini. "Lebih-lebih lagi dalam isu Mohd Isa yang terlibat dengan rasuah,"katanya.

Justeru kata beliau, demi menjaga intergriti seperti yang dilaung Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Isa perlu meletak jawatan secara hormat sementara BPR perlu mengambil tindakan ke atas pemimpin Umno itu.

Jumaat lalu, Mohd Isa digantung jawatan dan keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang ketika bertanding jawatan itu dalam pemilihan parti September lalu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang bersalah di atas lima daripada sembilan tuduhan politik wang yang didakwa ke atasnya. - mks.

Monday, June 20, 2005

Gambar-gambar Demonstrasi Bantahan Roboh Masjid di Wisma Darul Iman

Oleh : Wartawan TK

Demonstrasi secara aman dan menghantar memo bantahan terhadap perobohan masjid kg Bujal serta rumah penduduk RTB yang telah berlangsung pagi tadi kira-kira jam 8.00 pagi sehingga pukul 10.00 pagi. Demostrasi ini telah berjaya menghantar mesej kepada kerajaan Zalim UMNO Terengganu di bawah pimpinan Dato' Seri Idris Jusoh.

Image hosted by Photobucket.comImage hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.comImage hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.comImage hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.comImage hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com

Saturday, June 18, 2005

Tanah: Himpunan aman di hadapan WDI Ahad ini

KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Hrkh) – Satu himpunan aman akan diadakan di hadapan Wisma Darul Iman (WDI) di sini pada hari Ahad (19 Jun) ini sebagai membantah kezaliman kerajaan BN/Umno negeri meroboh masjid dan rumah peserta rancangan tanah berkelompok (RTB).

Berdasarkan risalah yang disebarkan kepada umum, himpunan aman itu yang diadakan seawal jam 7.45 pagi mempelawa rakyat yang tidak reda dengan kezaliman kerajaan BN itu termasuk merampas tanah rakyat supaya turut serta.

Perhimpunan di hadapan WDI itu adalah lanjutan daripada beberapa perhimpunan aman yang telah diadakan sebelum ini di hadapan Pejabat Tanah Daerah Besut, Setiu dan Kemaman.

Kerajaan negeri melalui pejabat tanah daerah telah merobohkan rumah serta masjid di beberapa Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) sebelum ini.

Melalui RTB, kerajaan negeri sebelum ini yang dipimpin oleh PAS memberikan tanah kepada beribu-ribu rakyat negeri ini.

Menjadi prosedor biasa pemberian tanah, kebenaran menduduki itu perlu diperbaharui setiap tahun untuk menilai adakah ianya digunakan sebagaimana yang ditetapkan atau tidak.

Tetapi, apabila kerajaan bertukar tangan, kerajaan baru yang dipimpin oleh BN bertindak tidak menyambung pemberian secara TOL itu dan dengan kata lain menarik balik pemberian itu.

Antara langkah yang diambil adalah merobohkan sebarang binaan yang dibina di atas tanah berkenaan oleh pemiliknya.

Ini termasuklah rumah, masjid dan tanaman penduduk berkenaan.

Di Sungai Tong, Setiu, sebuah rumah yang dibina oleh seorang anggota tentera telah dirobohkan.

Anggota berkenaan yang sedang bertugas telah datang dengan pakaian seragam tenteranya melihat rumahnya telah menyebah bumi setelah dirobohkan oleh pihak berkuasa negeri.

Di RTB Bujal, Kemaman, sebuah masjid yang dibina oleh penduduk bersama dengan 10 buah rumah mereka telah dirobohkan oleh pihak berkuasa negeri.

Ceramah Perdana

Sementara itu, satu ceramah besar-besaran bertajuk `Kebangkitan Rakyat Menentang Kezaliman Umno Meroboh Masjid dan Rumah Serta Merampas Tanah Rakyat’ akan diadakan pada Sabtu, 18 Jun ini jam 9 malam di Kampung Gelong Bilal, Jalan Pasir Panjang, dekat sini.

Para penceramah pada majlis yang bermula jam 9.15 itu terdiri daripada Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan timbalannya, Salahuddin Ayub dan Ustaz Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS negeri dan timbalannya, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Abu Bakar Chik serta Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani.- AYU/zs

Saturday, June 11, 2005

Kejayaan XPDC Dakwah Diteruskan

Alhamdulillah, Program XPDC Dakwah III anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) serta Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) pada 1 Mei 2005 sekali lagi meneruskan kecemerlangannya.

Konsert Fenomena Dangdut Inul yang berlangsung semalam (01 Mei 2005) akhirnya menerima tamparan hebat setelah ianya gagal untuk mendapatkan sambutan dari rakyat Malaysia. Wakil penganjur yang ditemui telah mengesahkan bahawa banyak lagi tiket-tiket yang gagal dijual.

Pihak kami juga mendapati bahawa sambutan peniaga yang kebiasaannya berniaga diluar stadium agak dingin. Hanya sekitar 7-10 buah gerai sahaja yang dilihat dikawasan luar stadium. Parking pula banyak yang kosong. ternyata jumlah yang hadir terlalu sedikit dan tidak mencukupi korum konsert yang diingini oleh penganjur.

Kelihatan stadium hanya dikunjungi oleh penonton dari Negara Jiran, Indonesia. Antara penonton dari Indonesia yang ditemui sememangnya mengakui bahawa kehadiran mereka disitu bukannya untuk mendengar Inul menyanyi tetapi ingin melihat ‘goyang gerudi’ Inul secara ‘live’. Dan itulah modal utama para penganjur dalam mempromosikan konsert tersebut sebelum ini dengan harapan Inul mampu untuk ‘mengerudi’ Stadium Merdeka dan juga hati – hati kering para penonton untuk disumbatkan dengan najis hedonisme.

Kita juga telah dimaklumkan bahawa terdapatnya beberapa orang artis Malaysia yang hadir untuk bersama meraikan Inul, antaranya A.R Badul dan Salih Yaccob.

XPDC edaran risalah dakwah telah dimulakan sekitar pukul 6.50 petang setelah para petugas diberikan taklimat. Lebih kurang pukul 7.20 malam petugas berhenti rehat untuk menunaikan solat dan kemudian meneruskan operasi edaran risalah. XPDC ini dipimpin oleh Ust. Idris Ahmad-Tim. Ketua Pemuda PAS Pusat, Tn. Hj. Mohd Nor Mohamad-Tim. Pesuruhjaya PAS Wilayah dan Ust. Nasaruddin Tantawi berserta beberapa orang pimpinan pemuda.

XPDC kali ini juga telah disambut baik oleh masyarakat yang juga turut berminat untuk menyertai program edaran risalah. Muslimat PAS juga telah turun untuk bersama dalam mengerakkan risalah dakwah yang kita yakini mampu memberikan sedikit 'goyangan' kepada para penonton yang hadir pada malam tersebut.

Walaupun ramai rakyat Indonesia yang hadir namun usaha dakwah tetap diteruskan kerana risalah yang diedarkan tidak dibatasi oleh sempadan negara bangsa. Agenda mendaulatkan akidah Islamiyyah menjadi tongkat kepada XPDC ini.

Semoga pihak penganjur dan Inul memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakyat Malaysia yang kini sudah bosan dengan konsert - konsert artis dari negara luar khususnya. Golongan artis pada hari ini telah gagal menjadi teladan yang baik pada masyarakat. Cukuplah dengan wujudnya isu artis - artis yang menagih dadah, sumbang mahram, bergaduh dikelab malam dan sebagainya. Kedatangan Inul pula, hanya sekadar memanjangkan lagi plot kebobrokan golongan artis yang kini sudah tidak releven dengan apa yang diingini rakyat.

Kita tidak menyalahkan semua artis dan meletakkan semua kesalahan itu pada mereka kerana kami juga tidak menafikan bahawa ada lagi artis yang bersopan dan berimej baik. Namun begitu, kita juga perlu menerima hakikat bahawa kebanyakkan artis gagal menunjukkan imej yang baik dan mereka tidak seperti yang kita lihat dikaca TV. Skandal dan gosip artis yang kita sering dengari amat meloyakan dan memalukan.

Kita berharap agar industri seni di Negara ini dapat mengembalikan imej karyawan seni Negara yang kini sudah jauh terpesong dengan identiti budaya bangsa Melayu. Kementerian Kesenian dan Warisan perlu sedar dan bangkit dari kerusi malas mereka untuk bekerja memartabatkan budaya bangsa Melayu yang berhibur dalam erti kata tidak melanggar batas norma masyarakat.

Budaya canggung mengerudi pentas dengan punggung artis menodai kesucian akhlak masyarakat muslim haruslah ditolak dan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia selepas ini. Kita juga jelak melihat kumpulan artis yang berpakaian tidak senonoh dengan gaya beruk terkinja – kinja diatas pentas serta tiada hala tuju melainkan sekadar berhibur dan menghibur tanpa sempadan akidah.

Secara keseluruhanyan, kita tidak mahu rakyat menyesal dikemudian hari setelah mereka pada hari ini mewariskan generasi yang tidak patriotik dan hanya berminat pada dunia hiburan sahaja. Sekiranya itu menjadi kenyataan maka Negara ini pastinya bakal dijual oleh generasi akan datang setelah mereka kehabisan dana dan kepakaran lantaran kegagalan kita mendidik jati diri mereka dalam membina Negara dan tamadun bangsa Malaysia.

Mungkin ada yang mengatakan itu mustahil, tapi lihatlah pada Indonesia yang dulunya bangga dengan pelbagai projek mega di bawah kepimpinan Suharto tetapi akhirnya tersungkur dan berlutut dihadapan IMF setelah pemimpin mereka yang gila hiburan membankrapkan Negara. Keadaan itu menunjukkan bahawa secara tidak langsung mereka telah menjual Indonesia kepada Bank Dunia dan hingga ke hari ini Indonesia menjadi kerbau yang tercucuk hidungnya lantaran kesilapan pemimpin lampau yang tidak meletakkan Islam dan budaya bangsa mereka diatas tari sosiopolitik mereka.

Kita berharap agar seluruh umat Islam di negara ini dapat bangun dari tidur mereka dan melihat realiti kehidupan yang meliliti mereka serta bergerak merungkaikan segala halangan dan tafsiran hidup yang ada. Semoga Umat Islam di Malaysia dapat memahami dan menjadikan Islam sebagai cara hidup dan bukannya sekadar identiti picisan yang terlekat pada kad pengenalan semata.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan