Tuesday, June 28, 2005

Warga Kuala Lumpur tolak pemimpin rasuah

Oleh Wan Nordin dan Omar Saidi

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) - Rakyat yang membayar cukai kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mahu Menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan terdiri dari kalangan pemimpin yang didakwa terlibat dengan politik wang, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Kata beliau, selagi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad memegang jawatan penting dalam Wilayah Persekutuan, selagi itu kredibiliti Ahli Parlimen Jempol itu boleh dipertikai.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam satu perhimpunan aman di hadapan Bangunan DBKL sebentar tadi.

Seramai 50 penyokong PAS berkumpul sejak pukul 1.00 petang.Perhimpunan yang asalnya dirancang oleh kumpulan reformasi itu akhirnya diambilalih oleh Pemuda PAS dan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan setelah aktivis reformasi tidak kunjung tiba bagi memulakan demonstrasi.

Dimaklumkan oleh Pemberita Suara Keadilan, Faisal Mustaffa bahawa Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak menerima maklumat berhubung penganjuran perhimpunan itu.

Meneruskan ucapan itu Ustaz Idris berkata, rakyat Wilayah Persekutuan berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu menyiasat salahlaku Mohd Isa tanpa menunggu aduan dari Umno atau pihak lain. "Ini soal undang-undang tak kira status siapa dia Menteri atau sebagainya, beliau perlu disiasat dan dihukum kerana kesalahannya,"tegas beliau.

Kata Ustaz Idris lagi, keterlibatan Mohd Isa dalam isu politik wang itu merupakan kesalahan yang membabitkan kredibiliti negara dan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, sebagai Menteri dan Ahli Parlimen beliau perlu secara rendah diri mengundur diri dan bersedia untuk diambil tindakan oleh BPR dan pihak berkuasa lain.

Sementara itu wakil Solidaritri Mahasiswa Malaysia (SMM) yang enggan namanya disiarkan berkata, mahasiswa komitmen dengan sebarang usaha menegakkan keadilan dan menghapuskan rasuah.

Kata beliau, mahasiswa sanggup turun padang bersama-sama rakyat bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap senario yang berlaku hari ini. "Lebih-lebih lagi dalam isu Mohd Isa yang terlibat dengan rasuah,"katanya.

Justeru kata beliau, demi menjaga intergriti seperti yang dilaung Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Isa perlu meletak jawatan secara hormat sementara BPR perlu mengambil tindakan ke atas pemimpin Umno itu.

Jumaat lalu, Mohd Isa digantung jawatan dan keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang ketika bertanding jawatan itu dalam pemilihan parti September lalu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang bersalah di atas lima daripada sembilan tuduhan politik wang yang didakwa ke atasnya. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home